Makna Yang Terkandung Dalam Surat Luqman. Wasiat turut memainkan peranan yang penting di dalam berdakwah. ‘Bapa’ memikul tugas yang amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Kita telah dihidangkan oleh Al Quran bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Dan sebagaimana yang dimaklumi sebuah surah khusus di dalam Al Quran diberi nama dengan nama Surah Luqman. Dalam surat secara tidak langsung ada wasiat luqman untuk ibu dan bapak.
Wasiat Luqman untuk ibu dan bapak. Ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya itu merupakan salah satu ‘teknik’ di dalam berdakwah. Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian,nescaya anak-anak akan lahir sebagai muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Bertuahlah sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak seperti mereka. Mempunyai generasi yang diibaratkan umpama purnama yang menerangi kegelapan malam. Wahai ayah dan ibu,wasiatkan kepada anak-anakmu sepertimana wasiat yang diajar oleh Luqman al-Hakim!!!
Dr.Wahbah Az-Zuhaili telah berkata di dalam bukunya ’Tafsir Munir’:
“Al Baidhawi telah berkata bahawa nama Luqman sebenarnya ialah Luqman bin Ba’ura. Beliau bukannya nabi tetapi jumhur mengatakan bahawa beliau seorang yang bijaksana. Diberikan kepadanya Al Hikmah iaitu kelebihan pada akalnya, cerdik dan perkataan atau kalam yang dikeluarkannya memberi kesan kepada manusia. Nama sebenar anaknya ialah (mengikut As-Suhaili) An’am atau Asykam atau Matan atau Tharan”
Abd.Rahman Hassan Al Maidani berkata di dalam bukunya ’Fiqh Dakwah’ bahawa di sana terdapat 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Luqman mendidik anaknya melalui ‘wasiat’. Oleh itu marilah sama-sama kita menilai wasiat tersebut yang mengandungi 14 permasalahan penting buat umat Islam selepas ini.
U/P :
- Tulisan berikut selepas ini berdasarkan terjemahan dan olahan melalui buku karangan Dr.Wahbah Az-Zuhaili dan Abd.Rahman Hassan Al-Maidani yang tersebut di atas.
- Untuk memudahkan anda,sila rujuk terjemahan/tafsir Al Quran bagi ayat 13-19 Surah Luqman.
Permasalahan Pertama:
Perkara pertama yang diajar oleh Luqman kepada anaknya ialah jangan Syirik kepada Allah s.w.t.. Disebutkan di dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah s.w.t. adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa memelihara alam semesta ) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah). Atau dengan ertikata lain, mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu lain yang juga mampu memelihara alam semesta dan mempersekutukan Allah s.w.t.dengan sesuatu yang lain yang juga layak untuk disembah. Inilah Syirik!!!
Meskipun syirik terhadap Uluhiyatullah lebih ringan dari syirik terhadap Rububiyatullah, akan tetapi Allah s.w.t. tidak akan mengampuni dosa orang yang mati dalam hal demikian!
Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya. Lagi sekali kita ingin mengajukan soalan. Mengapa syirik dikatakan zalim? Telah disepakati, bahwa Allah s.w.t.lah yang menciptakan makhluk semesta alam. Allah s.w.t. jua yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakankekuasaan Allah s.w.t. ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah s.w.t. dengan kuasa yang lain maka ia telah melakukan kezaliman!!!
Allah s.w.t. sahaja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tak mampu dilakukan olehkuasa lain. Tetapi jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman. Inilah yang diperkatakan melalui ayat 13 surah Luqman yang bermaksud:
“Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah s.w.t.. Sesungguhnya mempersekutukan Allah s.w.t. itu adalah kezaliman yang amat besar.”
Makna Yang Terkandung Dalam Surat Luqman (Part1)
0 komentar:
Posting Komentar